Makalah Fiqih Muammalat | Antara Talfiq dan Ta`sil
Pendahuluan
Islam sebagai “Ad-Deen” yang turunkan oleh Allah S.W.T adalah
satu-satunya agama yang merangkumi segenap aspek kehidupan insan baik
duniawi dan ukhrawi. Kedua-duanya ditekankan oleh Islam dengan
menjadikan seluruh kehidupan manusia sebagai ibadat kepadaNya:
((Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu))[51:56].
Keluasan ilmu Islam (dari konteks ilmu yang berkaitan secara langsung
dengan amalan dan ibadat manusia) ini boleh dicerakinkan kepada 3 cabang
ilmu: Akidah (Iman), Syariat @ Fiqh (Islam) dan Akhlak (Ihsan). Fiqh
Muamalat, merupakan pecahan daripada ilmu fiqh yang merangkumi: ibadat,
muamalat, kekeluargaan (ahwal syakhsiah), jenayah dan pentadbiran
negara. Namun penghayatan masyarakat terhadap kepentingan fiqh muamalat,
jenayah dan pentadbiran negara kurang dititikberatkan semenjak
kejatuhan sistem khilafah.
Kesan daripada masalah ekonomi yang melanda dunia pada hari ini telah
membuka mata banyak pihak hatta dunia barat terhadap kepentingan untuk
kembali kepada sistem ekonomi dan kewangan Islam. Ini menjadi titik
perubahan “turning point” kepada hala tuju perkembangan ilmu ekonomi
semasa. Pelbagai usaha dijalankan untuk mengislamisasikan sistem
kewangan yang ada dengan berpandukan prinsip ilmu-ilmu Islam. Ilmu usul
fiqh, qawaid fiqhiah dan maqasid memainkan peranan yang penting dalam
mengeluaran hukum-hukum yang selari dengan arus kemajuan dan
perkembanagn dunia.
Penulis dalam tulisan ringkas ini, cuba untuk merungkai perbincangan
tentang pertembungan antara keterbukaan dan keterikatan dalam
hukum-hukum yang berkaitan fiqh muamalat. Penekanan akan diberi kepada
masalah usul yang berkaitan ta’sil fiqhi dan talfiq yang masih belum
difahami oleh sebahagian penuntut ilmu agama dan menjadi perdebatan
hangat antara ilmuan Islam.
Segala yang baik datangnya daripada Allah S.W.T, dan segala kekurangan
datangnya daripada kelemahan diri penulis. Semoga usaha baik ini
diikhlaskan niatnya oleh Allah dan dibalas dengan ganjaran pahala di
sisiNya.
PEMBAHASAN
A. Pengertian
Untuk memahami tajuk perbincangan ini, istilah di bawah perlulah difahami terlebih dahulu:
1. Erti Fiqh Muamalat
2. Erti Ta’sil
3. Erti Talfiq
Kalimah “Fiqh” berasal daripada kalimah Bahasa Arab yang membawa maksud:
kefahaman. Dari segi istilah pula, kalimah ini bermaksud: Ilmu
berkaitan hukum-hukum amali syariat, yang dikeluarkan daripada
dalil-dalilnya yang “tafsil”[1].
Muamalat pada pengertian umum bermaksud segala hukum yang mengatur
hubungan manusia di muka bumi, dan secara khusus merujuk kepada urusan
yang berkaitan dengan harta. Maka istilah Fiqh Muamalat secara khusus
merujuk kepada: Ilmu berkaitan hukum-hukum syariat yang mengatur urusan
manusia berkaitan harta[2].
“Ta’sil” ialah kata terbitan daripada kalimah (أصل) yang bermaksud asal
dan punca. Dalam penggunaan ilmu fiqh, ta’sil membawa maksud: Proses
menyandarkan hukum kepada sumber dan dalilnya.
“Talfiq” pada bahasa Arab bermaksud himpun dan cantum. Manakala pada
istilah pula membawa erti: Menghimpunkan pandangan mazhab-mazhab yang
berbeza pada satu masalah, sehinggakan terhasil amalan yang tidak diakui
oleh mana mujtahid[3]. Ini adalah takrif yang lebih spesifik dan
khusus, berbanding takrif lain yang tidak membezakan antara talfiq dan
tatabu’ rukhas, iaitu mencari pendapat-pendapat yg ringan untuk
diamalkan.
Daripada pengertian komponen tajuk di atas, dapat difahami bahawa tajuk
“Fiqh Muamalat, antara Ta’sil dan Talfiq” berkisar tentang masalah hukum
dan pengamalan yang berkaitan muamalat, sejauh mana dibenarkan
pencampuran pendapat-pendapat mazhab yang berbeza dalam sesuatu hukum,
adakah percampuran ini dikira sebagai talfiq walaupun bersandarkan
kepada dalil? Inilah persoalan yang cuba diperbahaskan dalam tulisan
ini.
Justeru itu, penulis akan membahagikan perbincangan ini kepada beberapa tajuk:
1. Talfiq dan hukumnya
2. Ta’sil dalam fiqh muamalat
TALFIQ & HUKUMNYA[4]
Masalah talfiq adalah salah satu tajuk yang dibincangkan dalam ilmu usul
fiqh. Ia biasanya dibahaskan di bawah tajuk “Ijtihad dan Taqlid”. Namun
banyak berlaku kekeliruan di kalangan penuntut ilmu Islam pada memahami
hakikat istilah ini. Ini kerana terdapat beberapa istilah lain yang
disalahtafsirkan atau disamakan dengan talfiq. Oleh itu, perlu bagi
penulis membezakan antara beberapa istilah yang berkaitan.
Talfiq: Menghimpunkan pandangan mazhab-mazhab yang berbeza pada satu
masalah, sehinggakan terhasil amalan yang tidak diakui oleh mana-mana
mujtahid.
Taqlid: Mengambil sesuatu pendapat tanpa mengetahui dalilnya.
* Jelas di sini bahawa taqlid lebih umum daripada talfiq.
Berpindah mazhab: lebih umum daripada talfiq. Ini kerana mengambil
pendapat mazhab-mazhab yang berbeza kadang berlaku pada masalah yang
berbeza atau pada masalah yang sama yang tidak membawa kepada talfiq.
Perkara ini boleh juga dikira talfiq jika berlaku pada satu masalah
sehinggakan tidak diakui kesahihannya oleh mana-mana mazhab.
Tatabu’ Rukhas (mengambil pendapat-pendapat yang ringan): lebih umum
daripada talfiq, kerana tatabu’ rukhas kadang-kadang tidak membawa
kepada talfiq. Dan bukan semua talfiq bermaksud untuk tatabu’ rukhas,
kerana kadang-kadang berhajat kepada keringanan kerana darurat atau
hajat.
Taisir (keringanan): Keringanan “taisir” adalah salah satu daripada
maqasid syariah. Seseorang berhajat kepada keringanan apabila berlaku
kesempitan dan masyaqqah (kesukaran) untuk beramal dengan hukum asal.
Maka talfiq ialah satu cabang daripada taisir yang bertujuan untuk
memenuhi hajat dan menolak darurat yang berlaku. Namun kemudahan dalam
agama perlu mengikut syarat-syarat dan etika-etikanya. Bukan semua
perkara boleh dikatakan darurat atau hajat.
B. Pembahagian Talfiq[5]:
Talfiq boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian berdasarkan kepada perspektif masalah talfiq ini dibincangkan:
1. Tujuan
a. Talfiq yang bertujuan untuk menolak darurat dan kerana hajat, atau dengan tujuan tatabu’ rukhas.
b. Talfiq yang berlaku dengan sendiri tanpa tujuan tertentu. Seperti
orang awam yang bertanya kepada mufti yang berbeza dalam satu masalah.
2. Sumber
a. Talfiq yang berdasarkan taqlid. Kebiasaannya berlaku di kalangan orang awam.
b. Talfiq yang bersandarkan ijtihad. Kebiasaan berlaku di kalangan
mereka yang mampu berijtihad dan mengeluarkan hukum daripada sumbernya.
c. Talfiq yang berlaku disebabkan proses perangkaan undang-undang dan
akta. Apabila kerajaan ingin mengaktakan sesuatu undang-undang,
kadang-kadang mereka mengambil daripada mazhab-mazhab yang berbeza
sehingga berlaku talfiq.
3. Rupa masalah yang terhasil
a. Masalah yang terdiri daripada dua hukum
- pada satu masalah: Seseorang berwudhu’, lalu menyentuh perempuan
ajnabi kerana bertaqlid kepada mazhab Hanafi. Kemudian berbekam kerana
berpegang kepada mazhab Syafie. Maka berhimpunlah dua hukum pada satu
masalah iaitu taharah, menjadikan rupa ibadat yang tidak diakui sah oleh
kedua-dua mazhab tersebut.
- pada dua masalah: Seseorang berwuduk dan menyapu sebahagian kepala
kerana bertaqlid mazhab Syafie. Kemudian sembahyang menghadap arah
“jihah” qiblat mengikut mazhab Hanafi. Maka berhimpun dua hukum pada dua
masalah iaitu taharah dan qiblat. Namun ia berhimpun pada hukum solat
sehinggakan rupa ibadat itu tidak diakui oleh mazhab tersebut.
4. Waktu berlaku niat talfiq
a. Niat bertalfiq sebelum melakukan perbuatan.
b. Berlaku niat talfiq selepas berlaku perbuatan.
C. Hukum Talfiq
Perbahasan tentang talfiq dalam ilmu fiqh belum dikenali pada zaman
salafussoleh. Perkara ini timbul kesan daripada perpecahan ilmu fiqh
kepada mazhab-mazhab yang berbeza. Ini dapat dilihat dalam
karangan-karangan ulamak terkemudian daripada pelbagai mazhab. Pada
masalah ini, terdapat 3 pendapat di kalangan ulamak[6]:
Pendapat Pertama: Haram talfiq secara mutlak.
Ini adalah pendapat kebanyakan ulamak mazhab, dan pendapat yang disokong
oleh Abdul Ghani Nabulsi, As-Safarini (wafat 1189H), Alawi As-Shanqithi
(wafat 1230H), Al-Muthi’ei, dan Muhammad Amin As-Shanqithi (wafat
1393H).
Pendapat Kedua: Harus talfiq secara mutlak.
Pendapat ini dinaqalkan oleh Ad-Dusuqi dari ulamak-ulamak Maghribi yang bermazhab Maliki, dan beliau mentarjihkan pendapat ini.
Pendapat Ketiga: Harus talfiq dengan bersyarat.
Antara syarat-syarat yang diletakkan ialah:
- Tidak berniatkan “tatabu’ rukhas” dengan sengaja.
- Tidak membawa kepada melanggar ijma’.
- Hendaklah berlaku talfiq pada selain perbuatan yang diamalkan secara taqlid.
- Harus dengan syarat terdapat darurat yang berhajat kepada talfiq.
D. Pendapat Muhammad Said Al-Bani[7]
Beliau telah membincangkan masalah talfiq dengan terperinci dalam kitab
beliau Umdatu At-Tahqiq. Beliau menyatakan bahawa masalah ini hanya
berlaku kepada pengikut mazhab (muqallid) dan orang awam. Mujtahid
muthlak, mujtahid masalah, ahli tarjih dan takhrij tidak berlaku talfiq
dalam hukum kerana mereka berijtihad menggunakan dalil. Beliau
seterusnya membahagikan hukum talfiq kepada talfiq yang diharamkan dan
yang dibenarkan dengan bersyarat.
Talfiq yang diharamkan:
1. Tatabu’ rukhas dengan sengaja tanpa darurat dan keuzuran.
2. Talfiq yang membawa kepada menyalahi hukum qadhi dan hakim.
3. Talfiq yang membawa kepada meninggalkan hukum perbuatan yang diamalkan secara taqlid.
Perkara ibadat yang diketahui kewajipannya oleh seluruh umat Islam
(المعلوم من الدين بالضرورة), ibadat hati dan akhlak tidak terdapat
talfiq padanya, kerana masalah talfiq hanya berkisar pada cabang-cabang
fiqh yang berlaku khilaf ulamak tentang hukumnya. Ia boleh dibahagikan
kepada:
Ibadat jasmani Ia dibina di atas dasar kemudahan dan tasamuh (kemaafan).
((Dan ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara ugama)) [22:78]
Seeloknya bagi seorang muslim ialah mengeluarkan dirinya daripada khilaf
dengan mengikut perbuatan sunnah yang diakui oleh seluruh mazhab,
selagi mana ianya tidak membawa kepada kesulitan dan masyaqqah. Jika
dirinya tidak mampu, boleh baginya bertalfiq dalam masalah darurat atau
memenuhi hajat syarie.
D. Ibadat harta
Ia dibina di atas dasar tasydid (memberatkan) dan ihtiyath
(berhati-hati). Maka hendaklah dijaga kemaslahatan empunya hak, dan
tidak dibenarkan talfiq yang boleh menghilangkan hak orang lain.
Perkara-perkara haram
Ia berasaskan dasar kewara’kan dan berhati-hati. Justeru itu, tidak
dibenarkan talfiq kecuali ketika keadaan darurat dan terpaksa.
Kekeluargaan (perkahwinan dan perceraian)
Hukum yang dikeluarkan dalam masalah kekeluargaan perlu selari dengan
maqasid syariah dalam menjaga maslahat suami isteri dan kebahagiaan
rumah tangga, sekalipun membawa kepada talfiq pada sesetengah keadaan.
Namun begitu, haram menjadikan talfiq sebagai jalan untuk bermain-main
dengan hukum pada bab nikah dan talak.
E. Muamalat, jenayah dan pentadbirah negara
Perkara tersebut melibatkan kesinambungan hidup masyarakat secara
keseluruhannya. Sesuatu hukum yang dikeluarkan dalam masalah ini perlu
melihat kepada keperluan dan maslahat umat secara menyeluruh. Maka
hendaklah dirujuk kepada usul syariat dan kaedah-kaedah umum dalam
syariat, atau pendapat pelbagai mazhab yang berbeza berdasarkan kaedah
ilmu dan tarjih, bagi mengambil hukum yang membawa maslahat kepada umat
dan kebahagian hidup mereka, walaupun membawa kepada talfiq.
F. Dalil Pengharaman dan Keharusan Talfiq[8]
Ulamak yang cenderung kepada pendapat haram berdalilkan kepada dalil-dalil berikut:
Jika diharuskan talfiq, nescaya akan membawa kepada rosaknya syariat
Islam dan menghalalkan perkara yang diharamkan. Seperti seorang yang
ingin berzina, boleh bertaklid pendapat Abi Hanifah pada harusnya wanita
menikahkan dirinya tanpa wali, lalu bertaklid pendapat Imam Malik pada
harus bernikah tanpa saksi. Perbuatan seperti ini haram dengan sepakat
para ulamak.
Berdasarkan kaedah usul: setiap perkara yang membawa kepada haram, ia
juga dihukumkan haram. Ia adalah salah satu daripada cabang saddu
zari’ah (menutup pintu yang membawa kepada haram).
Tidak pernah diriwayatkan daripada salafussoleh bahawa mereka melakukan
talfiq. Yang ada hanyalah mereka bertanyakan sebahagian sahabat Nabi
pada satu masalah, dan pada masalah lain bertanyakan kepada sahabat yang
berbeza. Perbuatan ini tidak dinamakan talfiq kerana berlaku pada
masalah yang berbeza.
Talfiq adalah cabang masalah “mengeluarkan pendapat baru daripada
pendapat yang telah wujud”. Ini dinamakan dalam ilmu usul fiqh sebagai
“إحداث قول ثالث”. Apabila ulamak sesuatu zaman telah sepakat pada
sesuatu masalah dan mereka khilaf kepada 2 pendapat, tidak boleh bagi
mujtahid yang datang selepas itu untuk mencipta pendapat ketiga.
Bagi ulamak yang cenderung kepada keharusan talfiq pula, mereka berdasarkan dalil-dalil di bawah:
1. Mengharamkan talfiq akan menyebabkan kesulitan dan kesukaran
kepada umat, khususnya kepada orang awam. Pendapat ini akan membawa
kepada tidak sah ibadat yang mereka lakukan. Apatah lagi ulamak
mengatakan bahawa: mazhab orang awam ialah mazhab mufti. Tentu sekali
akan berlaku talfiq dalam amalan mereka.
2. Tiada dalil daripada Al-Quran dan As-Sunnah mahupun perkataan
sahabat yang menyatakan pengharaman talfiq. Mereka memberi fatwa kepada
sesiapa yang bertanya tanpa menghalang mereka daripada mengikut pendapat
sahabat lain atau melarang talfiq dalam masalah tersebut.
3. Talfiq ialah satu cabang daripada taklid. Sebagaimana diharuskan
taklid, begitu juga diharuskan talfiq. Jika perkara yang umum
diharuskan, sudah tentu perkara yang khusus hukumnya harus.
4. Pengharaman talfiq bertentangan dengan kefahaman bahawa semua
imam mujtahid berada di atas hidayat dan landasan syariat. Ia juga
menafikan prinsip: khilaf yang berlaku membawa rahmat kepada umat.
Setiap dalil di atas samada yang menyokong talfiq atau menolaknya, masih
boleh dibincangkan dan dipertikaikan. Namun pendapat yang lebih hampir
dengan ruh syariat ialah pendapat Al-Bani yang membezakan hukum talfiq
berdasarkan pelbagai perspektif yang berbeza. Pendapat ini disokong oleh
Prof Dr. Wahbah Az-Zuhaily, dan beliau telah menyimpulkan perbincangan
tentang hukum talfiq dengan katanya: Talfiq yang dibenarkan ialah ketika
hajat atau darurat, bukan dengan sia-sia atau tatabu’ rukhas dengan
sengaja tanpa ada maslahat syarie. Perkara ini terhad kepada sebahagian
hukum ibadat dan muamalat yang ijtihadi, tidak pada hukum yang qathie
(tetap)[9].
TA’SIL DALAM FIQH MUAMALAT
Ijtihad & Pembahagiannya
Syariat Islam bersifat ma’sum (terpelihara) daripada segala kekurangan
kerana ianya datang daripada Tuhan yang bersifat dengan segala sifat
kesempurnaan. Ia berbeza dengan ijtihad ulamak pada nas-nas syariat
kerana manusia tidak sunyi daripada melakukan kesalahan. Namun begitu
mereka juga diberi pahala di atas usaha gigih dalam memahami nas dan
mengeluarkan hukum untuk diamalkan oleh masyarkat. Ini berdasarkan
kepada hadis Nabi S.A.W:
إذا حكم الحاكم فاجتهد فأصاب فله أجران، وإذا حكم فاجتهد فأخطأ فله أجرٌ.
((Apabila berhukum oleh seorang hakim, lalu berijtihad dan betul pada
ijtihadnya baginya 2 pahala. Dan jika dia berhukum, lalu berijtihad dan
tersalah pada ijtihadnya baginya satu pahala)) [riwayat Abu Daud, Nasaie
dan Ibn Majah].
Perlu diingat bahawa lafaz “hakim” yang digunakan oleh baginda
Rasulullah S.A.W merujuk kepada mereka yang mempunyai kemampuan untuk
ijtihad (أهلية الاجتهاد), bukannya sekadar dakwaan semata-mata. Bahkan
perlu baginya memenuhi syarat-syarat yang diletakkan ulamak untuk
menggelarkan dirinya mujtahid. Antaranya:
Islam
Taklif
Adil
Fiqh Nafs
Ilmu berkaitan Al-Quran
Ilmu berkaitan As-Sunnah
Ilmu berkaitan Bahasa Arab
Ilmu berkaitan Usul Fiqh
Ilmu berkaitan Maqasid Syariah
Pengetahuan tentang ijma’ dan Qawaid Kulliyah bagi fiqh Islam
Pengetahuan tentang suasana dan keadaan masyarakat zaman tersebut[10].
Syarat-syarat di atas perlu dipenuhi oleh seorang yang bergelar sebagai
mujtahid mutlak. Memandangkan pada zaman mutakhir ini wujud kesukaran
untuk memenuhi keseluruhan syarat tersebut, terdapat pandangan yang
menggolongkan mujtahid kepada beberapa peringkat[11]:
Mujtahid Mustaqil
Mujtahid Muthlak ghair Mustaqil (Abu Yusuf, Muhammad, Zufar, Ibn Qasim, Asyhab, Al-Buwaithy, Al-Muzani)
Mujtahid Takhrij (Hasan ibn Ziyad, Al-Karkhi, At-Thohawi, Al-Abhuri, Ibn Abi Zaid, AS-Syeirazi, Al-Marwazi)
Mujtahid Tarjih
Mujtahid Fatwa
Begitu juga ulamak membincangkan tentang tajazzu’ ijtihad, iaitu ijtihad
dalam sebahagian cabang fiqh sahaja (seperti muamalat) dan tidak pada
cabang-cabang yang lain. Dengan pembahagian ini, dapat disimpulkan
bahawa mereka yang ingin berijtihad atau mengeluarkan fatwa dalam bidang
fiqh muamalat perlu sekurang-kurangnya memenuhi syarat tersebut pada
nas-nas Al-Quran dan Al-Hadis yang berkaitan dengan muamalat. Tanpa
mengabaikan ilmu usul fiqh, qawaid fiqhiyah dan maqasid, kerana ilmu
tersebut adalah instrument (alat) yang penting dalam memahami nas dan
mengeluarkan hukum.
Adab berta’amul (berinteraksi) dengan nas
Perbincangan tentang ta’sil memerlukan kita untuk memahami kaedah dan
adab berinteraksi dengan nas-nas Al-Quran, Hadis, perkataan sahabat, dan
ijtihad fuqaha’. Keghairahan seseorang mengeluarkan hukum tanpa
mengikuti disiplin ilmu yang betul akan membawa kepada natijah yang
tidak selari dengan ruh syariat.
Perkara paling penting yang memastikan hukum yang dikeluarkan bertepatan
dengan kehendak syarak ialah fiqh waqi’ah (memahami masalah yang
berlaku) dan fiqh waqi’ (memahami suasana). Kerana itulah ulamak
menekankan kepentingan menggambarkan masalah yang berlaku dengan tepat
(تصوير المسألة) dan menentukan hakikat masalah baru yang berlaku dengan
merujuk kepada asal masalah fiqh yang sama (التكييف الفقهي)[12].
Bagi memahami masalah yang berlaku seseorang perlu mengikut manhaj
(metodologi) yang kemas dan tersusun. Antara perkara yang membantu dalam
merangka manhaj yang berkesan[13]:
- Mengumpul segala maklumat berkaitan tajuk yang dibincangkan beserta keterangan dan huraian dari segenap aspek masalah.
- Tidak gopoh dalam mengeluarkan pendapat kerana kecuaian dalam mengeluarkan hukum akan membawa kepada kesan negatif.
- Mencerakin dan meleraikan akad-akad yang berhimpun (العقود المركبة) dalam satu masalah kepada unsur-unsurnya yang asas.
- Melihat kepada adat dan uruf masyarakat yang hendak ditujukan hukum tersebut.
- Berhubung dengan pakar dan ahli dalam bidang yang berkaitan, seperti ahli ekonomi, sosial, perubatan dan politik bagi meminta penerangan daripada mereka dalam masalah yang berkaitan.
- Meminta penjelasan daripada pihak yang bertanya, kerana ia dapat menyatakan tujuan dan sebab yang tersembunyi, serta dapat memahami masalah dengan lebih terperinci.
Kemudian masalah tersebut perlu dinilai berdasarkan dalil syariat dengan
proses yang dinamakan “التأصيل الفقهي” melalui langkah-langkah di
bawah:
1. Merujuk kepada nas Quran
2. Merujuk kepada nas hadis
Nas Al-Quran dan hadis perlu dianalisis berdasarkan kaedah usul. Jika
berlaku pertentangan dalil, ia perlu dirungkai berpandukan metodologi
ulamak usul[14]:
Syafieyah: Jama’, tarjih, nasakh, mengenepikan dalil-dalil tersebut dan merujuk kepada dalil-dalil lain yang lebih rendah.
Hanafiyah: Nasakh, tarjih, jama’, mengenepikan dalil-dalil tersebut dan merujuk kepada dalil-dalil lain yang lebih rendah.
3. Merujuk kepada fatwa sahabat
4. Merujuk kepada fatwa tabien dan karangan ulamak terdahulu
Fatwa sahabat, tabien dan ulamak terdahulu tidak setaraf dengan nas
Al-Quran dan As-Sunnah. Kerana itu perkataan mereka hanya dijadikan
sebagai sokongan dan peneguhan kepada dalil (الاستئناس). Justeru ia
perlu disaring dan ditarjihkan melalui:
Qawaid Fiqhiyah
Maqasid Syarieyah
Siasah Syarieyah
Siasah Iqtisadiyah (Ekonomi)
Imam Ghazali telah menukilkan perkataan Imam Syafie yang terlebih dahulu
meletakkan asas kepada langkah yang dinyatakan di atas: Apabila berlaku
sesuatu masalah baru bagi mujtahid, hendaklah dibentangkannya kepada
nas Al-Quran. Jika tidak didapati nas daripada Al-Quran, hendaklah
dibentangkan kepada hadis mutawatir, kemudian hadis ahad. Jika tidak
didapati nas daripada hadis, hendaklah melihat kepada zahir Al-Quran,
lalu dirujuk kepada dalil-dalil yang mengkhususkan zahir tersebut
daripada qias atau hadis. Jika tidak terdapat dalil yang mengkhususkan,
maka dihukum dengan zahir tersebut. Jika tidak didapati zahir nas
daripada Al-Quran atau hadis, maka dirujuk kepada mazhab-mazhab ulamak.
Jika terdapat pendapat yang disepakati, maka diikut pendapat tersebut.
Jika tidak terdapat persepakatan, maka bolehlah menggunakan qias di
samping mendahulukan kaedah umum daripada kaedah furu’[15].
Tidak semua dalam Makalah ini yang dicantumkan karena terlalu banyak,
jika ingin mendapatkan secara lengkap dapat Anda download dalam Format DOC di sini